09 May, 2021

Bila COVID berbicara

Di depan pintu masuk sebuah keramaian. 

Pengunjung A : Assalamualaikum. 
Pengunjung  B : Waalaikumussalam. Siapa awak? 

Pengunjung A : Saya Covid. 
Pengunjung B : Ah,  Covid yang bahaya tu?! 
Pengunjung A : Ya,  ha'ah.  Saya la tu. (senyum) 

P (Pengunjung)  : Kenapa kau masih di sini?
C (Covid) : Tugas saya belum selesai. (memerhati orang ramai yang keluar masuk. Senyum) 

P : Kau suka melihat kita semua susah? 
C : Itu salah satu tugasku. 
P : Celaka kau. 
C : (Diam) 

P : Kes melambung naik.  Ini semua salah kerajaan. Peraturannya entah apa-apa.  Mufti cara mufti. Tunduk kepada kehendak pemerintah.  Geng kayangan,  selebriti... Semua terlepas.
C : HAHAHAHAHA. (ketawa dengan kuat) 
P : Kenapa kau ketawa?  Kau tahu? Rakyat tertekan, kerja tak ada. Kena lagi kompaun. 

C : HAHAHAHA. (ketawa dengan kuat) 
P : Kurang ajar.  Kenapa kau ketawa?! 
C : Sudah setahun aku datang. (memandang wajah pengunjung) 
P : Ya,  betul.  
C : Kau masih menyalahkan orang lain dan bukan dirimu? 
P : (Diam)

P : Hei,  kenapa aku yang salah?  Kau tu yang salah.  Kau tu agenda musuh.  Konspirasi. 
C : Kau takut dengan konspirasi? 
P : (Diam) 
C : Kau sejenis manusia yang suka menyalahkan orang lain. 

P : Aku? 
C : Ya,  engkau.  Kau penakut.  Kau takut mati. 
P : Hei,  kau tak boleh tuduh aku macam tu. 
C : Aku bukan tuduh. 

P : Aku rela mati untuk agama.  
C : TIPU!  Kau penipu. 
P : (Diam) 
C : Nabimu sudah mengatakannya. Umat akhir ini berpenyakit. Cintakan dunia dan takutkan mati.  Kau takut mati. Agama hanyalah mainan dibibirmu supaya kau tetap merasakan kau orang baik. 
P : (Diam)

P : Itu tidak benar. 
C : Hahaha. (gelak kecil)

P : Baiklah. Itu normal jika aku takut mati,  tapi aku tak salah. 
C : Kau suka melihat kesalahan orang dan kau lupa kesalahan dirimu. 
P : (Diam) 
C : Di waktu kau pertikaikan penjarakan sosial majlis selebriti,  kau sendiri melepak dengan kawan-kawan tanpa penjarakan.  Di waktu kau pertikaikan mereka merentas negeri,  kau sendiri bersenang lenang menggunakan surat kebenaran  kerja untuk ke sana ke mari atas keperluan peribadi.
P : (Diam) 

C : Kau sekarang sudah melampaui batas! 
P : Hah,  apa yang kau cakap?
C : Ya,  benar.  Sudahlah kau jauh dari agama. Ulama kau caci.  Institusi mufti dan agama kau hina tanpa segan.
P : (Diam) 

C : Lupakah kau,  ulama itu pewaris nabi? 
P : Mereka itu ulama suu'. 
C : Ah,  kau bercakap ikut nafsu.  Kau angkat ulama yang sependapat dengan kau.  Kau maki mereka yang berlainan pendapat. Cara kau tak jauh beza dengan orang politik! 

C : Masjid tutup, kau bising.  Penjarakkan saf,  kau bantah. Tapi kau bukanlah di kalangan mengimarahkan masjid.  Di mana kau? 
P : (Diam) 

C : Aku perlu masuk sekarang.  (memandang kepada orang ramai di majlis keramaian) 
P : Adakah aku selamat?  Aku pakai topeng.  Aku jaga jarak. Aku divaksin. 
C : Itu bukan menjadi syarat padaku.  Aku boleh menjangkiti sesiapa yang aku suka. 
P : Ah,  kalau macam tu ini semua tidak berguna? 
C : Itu menjadi syarat padamu.  Boleh jadi,  aku menjadi kasihan melihat usahamu dan aku mengelak menjangkitimu. 

P : Apa lagi yang aku perlu buat?  
C : Bertaubatlah. Kembalilah mendekatkan diri kepada Allah. Banyakkan selawat. Banyakkan berdoa. 
P : (diam) 
C : Jangan lagi kau menjadi manusia biadap yang angkuh tanpa silap.  Rendahkan egomu. Lihatlah kesalahan dirimu sebelum kau menyalahkan orang lain.  
P : (diam) 
C : Ketahuilah,  ini zaman kesusahan untuk semua orang.  Maka tidak perlu dibandingkan siapa yang lagi susah. Sepakatlah dan bantu membantu.  
P : (mengangguk) 
C : Bersabarlah.  Pertolongan Allah itu sangatlah dekat jika kamu mengetahuinya.  (senyum)

Covid dan pengunjung melangkah masuk ke keramaian itu. 

Cerita ini cerita rekaan. 

08 May, 2021

Hargai Permata Hidup Kita

Lihatlah gambar ini dan cubalah kita mengertikan. 

Ketika kanak-kanak,  saya selalu merasa lucu melihat beg kecil Mami (panggilan untuk arwah ibu). Di situlah dia menyimpan duit untuk kegunaan harian.  

Selalu dia bilang,  dia tak suka bawa duit banyak. Saya fikir saya faham sebab saya pun dibekalkan duit belanja RM1 saja setiap hari.  

Pernah dia ceritakan,  betapa kelam kabut dia mencari syiling di kaunter supermarket kerana wangnya masih belum cukup.  Terpaksa diterbalikkan beg kecil itu hingga tumpah segala syiling atas kaunter.  Saya rasa itu sungguh melucukan. 

Begitu juga Abah (panggilan untuk arwah ayah)  dengan motorsikal honda lamanya. Jarang guna kereta,  katanya mudah bergerak.  Sekali pulang,  raga motor penuh barang mengalahkan bonet kereta.  Itupun dia kata mudah lagi? 

Nak ke mana-mana pasti dengan helmet putih  longgarnya. Maunya tak longgar,  kerana selalu dipakai hingga lusuh.  Span pun sudah lenyek.  Bau tak usah cerita dan warna kehitaman akibat daki ketika berpeluh.  

Sesekali bila saya perlu menjadi pembonceng,  helmet itu disarungkan ke kepala saya.  Dia akan gunakan helmet lain yang tak jauh uzurnya.  Dalam hati saya,  geli geleman. Tetap juga saya rasakan itu satu kelucuan.  

Apa yang mungkin saya tak sedar ketika itu adalah itulah sebenarnya sebuah kemiskinan kepada ibu bapa kita. Mereka miskin demi untuk menjadikan kita selesa. 

Kini saya faham,  mami tidak membawa duit banyak bukan kerana tidak mahu.  Hanya kerana itulah caranya berjimat demi masa depan. 

Abah tidak menggantikan helmet baru bukan kerana tidak mahu tetapi banyak hal yang lebih penting daripada itu.  

Pernah juga saya berasa perit dan kasihan  setiap kali melihat abah menghidupkan motorsikal yang terkena hujan kerana diletakkan di tempat terbuka, di situ sahaja kawasan parking di rumah kami. 

Abah akan menunjal pedal penghidup sehingga keletihan. Sesekali memicit lututnya yang kesakitan.  Sakit di tempat itu kekal hingga akhir umurnya.  

Apabila usahanya tak berhasil,  saya dipanggil untuk menolak motorsikal itu sambil dia masukkan gear.  Itupun saya merasa lucu  kerana jahil untuk melihat pengorbanan abah. 

Semoga Allah meredhai kedua ibu bapa saya. Dan semoga Allah meredhai setiap ibu bapa yang ikhlas membesarkan anak-anak mereka. 

Ahad ini 9 Mei 2021 rupanya Hari Ibu. Tadi saya  terdengar kata-kata Dj di radio.

Hargailah ibu bapa.  Mereka permata yang berharga. Jika masih bersama,  santuni mereka.  Setelah mereka tiada,  tiada yang dapat mengisi kekosongan itu walaupun sekaya mana pun harta kita.

19 January, 2021

SELAMAT HARI LAHIR BUAT DIRIKU

Kali ini aku cuba tak nak taip panjang. Aku cuba seringkas mungkin. Hari ini 18 Januari adalah tarikh lahirku. Setiap tahun aku menyambut harilahir pada dua tarikh, satu lagi ikut kalendar Islam.

Siapalah kita  tanpa ibu bapa kita. Aku panggil ibu dengan panggilan 'Mami' dan bapa, 'Abah'. Kedua-duanya kini telah tiada. Mami meninggal 3 Disember 2014 pada usia 60 tahun dan Abah pada 29 Jun 2020 pada usia 69 tahun. Semoga roh mereka diampunkan dan diberi rahmat oleh Allah SWT.

Mami memang penyokong kuat aku. Kalau aku menyanyi, Mami akan kata sedap dan puji aku boleh menyanyi. Kalau aku melawak, Mami akan ketawa biarpun adik-beradik lain kata tak lawak langsung. Mujur aku sedar diri. Kalau tak, dah join Program Mentor atau Raja Lawak. Macam terlebih yakin tu. Hehehe.

Satu kejutan selepas Mami tiada bila aku dapat tahu dia sempat beli hadiah harijadiku yang ke 34. Sebuah jam tangan. Mami beritahu adik, dia sengaja beli awal. Hari ini kenangan itu muncul kembali.

Naluri seorang ibu. Sebelum pergi, tetap mahu meninggalkan sesuatu untuk anaknya. Maka yang masih punya ibu, hargailah susah payah seorang ibu.

Abah lain perwatakkannya. Dia ramah dengan kawan tetapi kurang bercakap bila di rumah. Cuma di usia tua, mulutnya ringan sikit untuk bercerita. Dia suka bercerita kisah ubat dan pelanggannya. Abah seorang penjual minyak urut dan ubat herba tradisional selepas pencen. 

Malam Abah 'pergi', dia sempat menelefon aku untuk mengajak aku masuk korban. Ada bahagian lembu yang belum bertuan di kampung. Aku setuju dan Abah sangat gembira. Rupanya itu kegembiraan terakhirnya. 

Seperti ibu, bapa juga insan yang tidak akan melupakan anaknya. Bapa akan terus memimpin keluarga walaupun di hujung usia. Hargailah bapa dan jangan persoalkan pengorbanannya. Seorang bapa menelan kepahitan sendirian dan dia akan bawa sampai mati.

Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mengirimkan ucapan hari lahir bersama doa-doa yang baik. Maafkan saya sekiranya terlepas pandang. Di sini saya mengambil kesempatan mendoakan semua. Ya Allah, kurniakan kepada mereka yang membaca posting ini atau kepada yang mengucapkan selamat hari lahir kepadaku, kurniakanlah kesihatan, rezeki yang baik, umur yang bermanfaat, dipelihara daripada kejahatan yang nyata atau tersembunyi, diampunkan segala dosa, diberkati dan dirahmati, serta diredhai di dunia dan di akhirat. Aamiin ya Mujib.

Allah mengurniakan nikmat yang besar kepada saya dengan kehadiran insan-insan terdiri daripada guru-guru saya, ahli keluarga saya, kawan-kawan sekolah, kawan-kawan diploma, kawan-kawan universiti, kawan-kawan silat, kawan-kawan Wing Chun, kawan-kawan kerja dan kawan-kawan FB. 

Allah sangat baik kepada saya kerana menggerakkan hati-hati insan ini untuk menyapa saya, memberi ucapan hari lahir dan mendoakan saya. 

Tiada Tuhan Melainkan Allah. Dan Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah.

Tiada apa yang boleh didustakan tentang nikmat Allah. Allah memberikan nikmat-Nya dengan begitu banyak sebelum sempat manusia meminta. 

Moga kita semua diampunkan Allah kerana banyak melupakan-Nya. Aamiin. 
  

Nota admin : AMARAN. Ini bukan bahan ilmiah. Post ini adalah cetusan rasa. Ditulis daripada hati tanpa rujukan terperinci, fakta atau dalil. Sekiranya tidak tepat, sila abaikan. Atau tinggalkan teguran di ruang komen untuk admin betulkan.

17 January, 2021

Biji Tasbih Sebagai Alat

Hari tu sebelum pkp,  seronok juga saya berkumpul bersama rakan-rakan di Restoran Village View, Bangi.  

Makanan kat sana memang sedap.  Alhamdulillah. Hebat tukang masak kedai tu. Menu di situ sama seperti lain-lain kedai tom yam tetapi ada beberapa menu istimewa.

Semasa kami menyembang tu, ada la beberapa pertanyaan daripada sahabat saya Abang Md Fuad  yang membuka minda saya. Terima kasih sebab menjadikan perbincangan itu lebih bermanfaat.  

Perbincangan kami berkenaan biji tasbih. Ini pandangan peribadi saya dan dikongsikan di sini seperti mana yang kami bualkan. 

Pada saya,  biji tasbih ni adalah alat bantu atau pemudah cara.  Bukan tak boleh kira zikir guna jari tapi bila kita pegang biji tasbih ni rasa nak membilang tu lebih bersemangat.  

Sama saja macam main bola pakai kasut dengan tak pakai. Pakai jersi atau pakai tshirt. Kenapa pemain bola profesional ada jersi dan kasut khas untuk bermain? Semangat tu lain.  Berbeza sangat kalau main berkaki ayam dan pakai baju tshirt dok kat rumah. 

Dalam ibadah,  kita memang perlukan semangat.  Bukan senang nak buat ibadah walaupun zikir yang pendek.  Godaan syaitan tu besar sangat. 

Bila kita pegang tasbih,  minda kita berkata "takkan pegang saja?". Kita pun rasa malu dan mula la berzikir. 

Tasbih ni ada banyak set bilangan. Biasanya tasbih 100 atau 99. Kalau nak beli tasbih,  boleh ke fb Guru Abi Chai Al Ajami . Macam-macam tasbih ada dijual.  

Boleh je pakai jari, tak pakai biji tasbih. Boleh,  cuma tasbih ini mengekang kita daripada buat perkara lain menggunakan tangan. 

Kalau kira guna jari, tengah syok kira tiba-tiba gatal. Dah kita pergi garu pula dengan tangan tadi. Lupa terus bilangan.  

Ada orang suka bawa tasbih dengan cara pakai kat tangan atau sangkut kat leher. Itu tak lebih daripada untuk kesedaran sendiri.  Bila tasbih tergantung tu,  teragak-agak la sikit nak ke tempat maksiat. Malu. Nak tengok perempuan lalu pun segan. Takut dikecam orang sekeliling.  

Yang lagi penting, tengah-tengah sibuk hal dunia,  terpandang tasbih kat pergelangan tangan. Barulah sedar hari ni belum berzikir atau berselawat lagi. 

Tasbih ini dibuat daripada macam-macam bahan. Ada kayu, plastik atau batu.  Ini sekadar variasi untuk pilihan kita.  Manusia memang tidak lari daripada hendakkan sesuatu untuk kepuasan diri. Jadi,  pilih la mana-mana bahan pun tak apa.  Janji puas. 

Setiap bahan  semulajadi yang Allah jadikan ada kebaikan masing-masing. Benda ini sebenarnya berzikir kepada Allah dengan cara mereka. 

Jadi bila saya gunakan biji tasbih, saya umpamakan berzikir bersama-sama mereka, berharap mereka memohon pengampunan kepada diri kita dan mungkin juga menjadi saksi atas amalan kita di mahsyar nanti. 

Kita ni nak berzikir satu hari suntuk memang tak mampu.  Banyak urusan kerja.  Jadi dengan setkan bilangan zikir, kita dapat menganggarkan masa yang diperlukan. Contoh nak habiskan zikir subhanallah 33x,  alhamdulillah 33x dan Allahuakbar 33x cuma memerlukan 2 minit.  

Jadi biji tasbih ni sangat membantu bila kita nak setkan bilangan zikir. Lagipun hidup manusia memang perlukan matlamat. Kalau buat kerja tanpa matlamat,  tak ke mana kerja kita. 

Kalau berniaga,  matlamat mestilah nak untung.  Kalau belajar,  mestilah nak pandai atau lulus peperiksaan. Jadi tak ada salah kalau sehari, kita letakkan bilangan zikir tertentu untuk kita habiskan dalam sehari.  

Contoh nak habiskan 500 selawat.  Jadi kita setkan 100 kali selepas sembahyang. Pastikan masa yang diambil untuk habiskan zikir itu tidak mengganggu urusan atau temujanji dengan sesiapa.  

Adakah kita berkira dengan Allah apabila kita berzikir dengan meletakkan bilangan tertentu?  

Pada saya,  tidak. Bahkan ini kaedah yang baik untuk kita menilai tahap ibadah kita. Contohnya jika bulan ini,  kita berjaya berzikir lailahaillallah sebanyak 300 kali.  Maka bulan di depan ditambah lagi menjadi 600 kali. 

Kita boleh je nak lalui hari-hari berzikir tanpa kiraan, tetapi yakin ke kita?  Kalau yakin,  teruskan.  Pada saya,  acara zikir saya akan 'ke laut'. 

Kenapa ada amalan ulama dulu zikir sampai puluh ribu, ratus ribu? Pada saya,  itulah kaedah yang mereka buat sebagai disiplin diri sendiri dengan cara meletakkan matlamat yang tinggi dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghabiskannya.  

Lagipun bila hari-hari berzikir untuk capai matlamat zikir yang beratus ribu tu, akhirnya perkara zikir itu menjadi amalan yang dilazimi.   

Pada fahaman saya,  walaupun mereka habiskan zikir beratus ribu itu, mereka tidak berhenti berzikir.  Mereka akan terus berzikir atau meletakkan matlamat zikir yang lain pula. Bila dah jadi rutin,  barulah mereka pergi ke latihan ikhlas pula.

Cuba kita bayangkan sekejap tabung derma sampai kat kita.  Kita pun hulur seringgit dan rasa kita ikhlas. Cuba hulur semua gaji kita, mana ikhlas tu pergi?? 

Semua matlamat perlukan usaha dan perancangan. Begitu juga halnya zikir. Perancangannya adalah biji tasbih dan zikir dengan bilangan tertentu. Matlamatnya ikhlas. Nak capai ikhlas kena melatih diri. 

Kata orang kampung saya,  practise make perfect.  

Kalau urusan dunia, kita boleh membuat perancangan.  Elok sangat urusan akhirat pun dibuat dengan sistematik dan terancang. Bukan seperti melepas batok di tangga.  

Ini cuma pandangan saya. Jika ada salah silap,  harap dimaafkan. Ini cuma pandangan yang daif.  

Gambar ini adalah tasbih yang dibuat oleh rakan saya fb Bazid Bazil . Memang elok. Boleh pm dia jika ada yang berminat nak merasa hasil tangannya.  

16 January, 2021

Ini Cerita Kun Fayakun


Bismillahirrahmanirrahim. Ini cerita Kun Fayakun (berkata Allah, "Jadi". Maka, jadilah ia).

Benar sungguh. Apa yang Allah SWT berkehendak jadi, maka jadilah dia. Makhluk hanya mampu berusaha tetapi keputusan akhir itu milik Allah.

Dugaan dan ujian itu asam garam kehidupan. Hadirnya mungkin perit tetapi itulah yang mewarnai kehidupan kita. Seseorang yang diuji kegagalan, akan merasa bahagia setelah mendapat kejayaan. Indah, bukan?

Kisah saya pula, kereta yang elok diletakkan di hadapan rumah tetap juga menjadi mangsa kemalangan. Logiknya sukar diterima tetapi itulah kehendak Allah SWT.

Dilanggar oleh jiran saya semasa dia mahu ke surau waktu subuh. Dia kata dia terlelap. 😳😳

Mujurlah jiran ini sebaik-baik umat kerana sudi memberitahu saya yang memang tidak sedar. Kebetulan, masih tidur. Hehehe. Syukurlah dia mahu menanggung kos baik pulih. Saya memang nak berjimat-cermat sekarang ni!!!😫

Rasa kasihan juga padanya. Dia budak muda. Keretanya pun rosak seakan kereta saya. Dia bersungguh-sungguh mahu menyelesaikan kerosakan kereta saya dahulu. Elok la tu, dik. Abang risau kalau adik lari daripada tanggungjawab. huhuhu.

Begitulah apa yang Allah kehendaki pasti berlaku. Sebagai hamba, kita diminta untuk bermuhasabah diri. Dalam al-Quran ada menerangkan, tidak terjadi sesuatu kepada kita melainkan akibat 'tangan' kita atau sikap kita sendiri.

Sekali lagi al-Quran mengingatkan kita, sikap kita ini tidak akan berubah dan Allah tidak akan mengubahnya, melainkan kita sendiri yang sanggup berubah.

Cerita Kun Fayakun ini juga boleh dikaitkan dengan cerita Covid 19. Sekarang ini, bukan lagi masa untuk kita menyalahkan sesiapa. Sudah cukup, lebih kurang 10 bulan kita mencari salah orang. Padahal Covid 19 ini tetap akan menyinggah kepada tubuh badan sesiapa sahaja yang dia kehendaki. Dan yang Allah kehendaki.

Bermuhasabahlah kita dengan kesilapan dosa-dosa kita. Barangkali ada sikap kita yang terkurang ajar, terbiadap dan bertindak bodoh. Kesannya kita tanggung dan orang sekeliling pun turut menanggung.

Jagalah diri kita, sambil-sambil menjaga orang lain. Sebelum ini, banyak yang suka menjaga orang lain dan menjaga tepi kain orang lain. Padahal Covid 19 ini bukan semudah kisah kerbau membawa lumpur, terpalit kepada orang lain. Kesan lumpurnya mudah dilihat.

Gambarkan situasinya begini. Abdullah dijangkiti Covid 19 tetapi tidak mengetahuinya. Dia bertemu Abdul Halim. Oleh kerana daya tahan badan yang lemah, Abdul Halim menunjukkan simptom setelah beberapa hari. Dia membuat swab test dan didapati positif. Setelah itu, Abdullah membuat swab test dan didapati dia juga positif. Abdullah pun menyalahkan Abdul Halim sebagai pembawa sedangkan hakikat Allah sahaja yang tahu, Abdullah adalah pembawa sebenar.

Menyalahkan orang itu mudah. Membuat kesilapan dengan menyalahkan orang yang tak bersalah itu juga mudah. Yang payah adalah untuk kita mengaku salah.

Yang payah adalah untuk mengubah sikap kita sendiri untuk sama-sama memakai pelitup muka, menjaga jarak dan membasuh tangan.

Yang payah adalah untuk kita beramal dengan selawat, amalan pendinding, solat taubat dan solat hajat supaya Covid 19 diangkat dari bumi ini. Yang payah adalah untuk terus berdoa.

Yang payah adalah untuk meletakkan kepentinggan doa melebihi pelitup muka. Ramai yang risau jika tertinggal pelitup muka tetapi tidak berasa risau jika hari itu tertinggal berdoa kepada Allah supaya dipelihara dirinya. Pada pandangan saya, kedua-duanya sama penting tetapi berbeza dari segi darjatnya.

Yang payah adalah untuk terus beriktikad dalam hati bahawa Allah itu baik dan kita kena bersangka baik dengan takdir yang Dia kurniakan.

Yang payah itu REDHA DAN IKHLAS.

Semoga Allah memberikan kita jalan keluar daripada setiap masalah. Semoga Allah memberikan kesembuhan kepada pesakit-pesakit Covid 19. Semoga Allah mengampunkan kita semua. Semoga Allah merahmati kita di mana sahaja kita berada.



Nota admin : AMARAN. Ini bukan bahan ilmiah. Post ini adalah cetusan rasa. Ditulis daripada hati tanpa rujukan terperinci, fakta atau dalil. Sekiranya tidak tepat, sila abaikan. Atau tinggalkan teguran di ruang komen untuk admin betulkan.

02 January, 2021

ORANG PANDAI

Salam 2021.

Zaman ini banyak orang yang belajar makin 'pandai.' Ini bertentangan dengan konsep makin banyak belajar,  makin tidak tahu. 

'Pandai' yang saya maksudkan adalah berasa pandai. Ia sebenarnya satu penyakit akhlak. 

Apabila seseorang berasa pandai,  dia akan sewenang-wenang membodohkan orang lain.

Caranya,  dia akan mempertikaikan tindakan semua orang. Itu tidak betul, ini tidak betul.

Apa sahaja yang dilakukan di depan orang 'pandai' ini, mendatangkan rasa kurang senang kepadanya selagi tidak 'diperbetulkannya'. 

Mudah nak mengenali orang 'pandai' ini menurut pandangan  saya. Kalau di media sosial,  postingnya mempunyai  unsur menyalahkan orang lain, menjatuhkan kredibiliti pihak yang dituju, menghentam dan memberikan soalan-soalan tergantung tanpa jawapan.

Orang 'pandai' ini biasanya tidak mendedahkan diri sendiri.  Kadang-kadang picture profile pun gambar barang shopee je. Dia akan bereaksi seronok apabila ada pihak yang komen memaki sama pihak yang dihentamnya. 

Padahal Nabi s.a.w melarang kita memaki orang lain tetapi posting orang berasa pandai ini secara tidak langsung membuka ruang makian.

Lagi pandangan saya,  ciri utama orang 'pandai' ini ialah dia 'memandai-mandai' bukan dalam bidang dia atau menunjuk 'lagi pandai' daripada pihak yang dia hentam. Contohnya kalau dia pomen kereta, dia akan hentam Doktor. Contoh kedua, kalau dia pelajar sekolah,  dia akam hentam pelajar Universiti. 

Saya tidak bermaksud menuduh sesiapa yang ada semua ciri-ciri tersebut orang 'pandai'.  Setiap perbuatan ada batasnya.  Batas inilah yang bersangkut dengan akhlak.  

Orang berakhlak adalah orang yang menjaga batasnya. 'Orang pandai'  biasanya mereka yang melanggar batas akhlak kerana ego yang tinggi. 

Jadi jangan hentam saya atau terasa hati dengan post ini jika masih awak masih tergolong dalam orang berakhlak sebab saya tidak menujukan post ini pada awak. Saya tujukan kepada orang 'pandai' yang 'berasa pandai'. 

Ini pandangan sahaja. Allah lebih tahu.  

Saya ingatkan diri saya sahaja sebab saya pun mudah 'berasa pandai'. Insya Allah,  kita taubat dan ubah.  Andai kata kita terbuat lagi,  taubat lagi dan usaha lagi.  Allah tidak menutup pintu taubat selagi belum kiamat.  Taubat biarlah  bersungguh,  bukan main-main. 


Bila COVID berbicara

Di depan pintu masuk sebuah keramaian.  Pengunjung A : Assalamualaikum.  Pengunjung  B : Waalaikumussalam. Siapa awak?  Pengunjung A : Saya ...