Lihatlah gambar ini dan cubalah kita mengertikan.
Ketika kanak-kanak, saya selalu merasa lucu melihat beg kecil Mami (panggilan untuk arwah ibu). Di situlah dia menyimpan duit untuk kegunaan harian.
Selalu dia bilang, dia tak suka bawa duit banyak. Saya fikir saya faham sebab saya pun dibekalkan duit belanja RM1 saja setiap hari.
Pernah dia ceritakan, betapa kelam kabut dia mencari syiling di kaunter supermarket kerana wangnya masih belum cukup. Terpaksa diterbalikkan beg kecil itu hingga tumpah segala syiling atas kaunter. Saya rasa itu sungguh melucukan.
Begitu juga Abah (panggilan untuk arwah ayah) dengan motorsikal honda lamanya. Jarang guna kereta, katanya mudah bergerak. Sekali pulang, raga motor penuh barang mengalahkan bonet kereta. Itupun dia kata mudah lagi?
Nak ke mana-mana pasti dengan helmet putih longgarnya. Maunya tak longgar, kerana selalu dipakai hingga lusuh. Span pun sudah lenyek. Bau tak usah cerita dan warna kehitaman akibat daki ketika berpeluh.
Sesekali bila saya perlu menjadi pembonceng, helmet itu disarungkan ke kepala saya. Dia akan gunakan helmet lain yang tak jauh uzurnya. Dalam hati saya, geli geleman. Tetap juga saya rasakan itu satu kelucuan.
Apa yang mungkin saya tak sedar ketika itu adalah itulah sebenarnya sebuah kemiskinan kepada ibu bapa kita. Mereka miskin demi untuk menjadikan kita selesa.
Kini saya faham, mami tidak membawa duit banyak bukan kerana tidak mahu. Hanya kerana itulah caranya berjimat demi masa depan.
Abah tidak menggantikan helmet baru bukan kerana tidak mahu tetapi banyak hal yang lebih penting daripada itu.
Pernah juga saya berasa perit dan kasihan setiap kali melihat abah menghidupkan motorsikal yang terkena hujan kerana diletakkan di tempat terbuka, di situ sahaja kawasan parking di rumah kami.
Abah akan menunjal pedal penghidup sehingga keletihan. Sesekali memicit lututnya yang kesakitan. Sakit di tempat itu kekal hingga akhir umurnya.
Apabila usahanya tak berhasil, saya dipanggil untuk menolak motorsikal itu sambil dia masukkan gear. Itupun saya merasa lucu kerana jahil untuk melihat pengorbanan abah.
Semoga Allah meredhai kedua ibu bapa saya. Dan semoga Allah meredhai setiap ibu bapa yang ikhlas membesarkan anak-anak mereka.
Ahad ini 9 Mei 2021 rupanya Hari Ibu. Tadi saya terdengar kata-kata Dj di radio.
Hargailah ibu bapa. Mereka permata yang berharga. Jika masih bersama, santuni mereka. Setelah mereka tiada, tiada yang dapat mengisi kekosongan itu walaupun sekaya mana pun harta kita.
No comments:
Post a Comment