Benar sungguh. Apa yang Allah SWT berkehendak jadi, maka jadilah dia. Makhluk hanya mampu berusaha tetapi keputusan akhir itu milik Allah.
Dugaan dan ujian itu asam garam kehidupan. Hadirnya mungkin perit tetapi itulah yang mewarnai kehidupan kita. Seseorang yang diuji kegagalan, akan merasa bahagia setelah mendapat kejayaan. Indah, bukan?
Kisah saya pula, kereta yang elok diletakkan di hadapan rumah tetap juga menjadi mangsa kemalangan. Logiknya sukar diterima tetapi itulah kehendak Allah SWT.
Dilanggar oleh jiran saya semasa dia mahu ke surau waktu subuh. Dia kata dia terlelap. 😳😳
Mujurlah jiran ini sebaik-baik umat kerana sudi memberitahu saya yang memang tidak sedar. Kebetulan, masih tidur. Hehehe. Syukurlah dia mahu menanggung kos baik pulih. Saya memang nak berjimat-cermat sekarang ni!!!😫
Rasa kasihan juga padanya. Dia budak muda. Keretanya pun rosak seakan kereta saya. Dia bersungguh-sungguh mahu menyelesaikan kerosakan kereta saya dahulu. Elok la tu, dik. Abang risau kalau adik lari daripada tanggungjawab. huhuhu.
Begitulah apa yang Allah kehendaki pasti berlaku. Sebagai hamba, kita diminta untuk bermuhasabah diri. Dalam al-Quran ada menerangkan, tidak terjadi sesuatu kepada kita melainkan akibat 'tangan' kita atau sikap kita sendiri.
Sekali lagi al-Quran mengingatkan kita, sikap kita ini tidak akan berubah dan Allah tidak akan mengubahnya, melainkan kita sendiri yang sanggup berubah.
Cerita Kun Fayakun ini juga boleh dikaitkan dengan cerita Covid 19. Sekarang ini, bukan lagi masa untuk kita menyalahkan sesiapa. Sudah cukup, lebih kurang 10 bulan kita mencari salah orang. Padahal Covid 19 ini tetap akan menyinggah kepada tubuh badan sesiapa sahaja yang dia kehendaki. Dan yang Allah kehendaki.
Bermuhasabahlah kita dengan kesilapan dosa-dosa kita. Barangkali ada sikap kita yang terkurang ajar, terbiadap dan bertindak bodoh. Kesannya kita tanggung dan orang sekeliling pun turut menanggung.
Jagalah diri kita, sambil-sambil menjaga orang lain. Sebelum ini, banyak yang suka menjaga orang lain dan menjaga tepi kain orang lain. Padahal Covid 19 ini bukan semudah kisah kerbau membawa lumpur, terpalit kepada orang lain. Kesan lumpurnya mudah dilihat.
Gambarkan situasinya begini. Abdullah dijangkiti Covid 19 tetapi tidak mengetahuinya. Dia bertemu Abdul Halim. Oleh kerana daya tahan badan yang lemah, Abdul Halim menunjukkan simptom setelah beberapa hari. Dia membuat swab test dan didapati positif. Setelah itu, Abdullah membuat swab test dan didapati dia juga positif. Abdullah pun menyalahkan Abdul Halim sebagai pembawa sedangkan hakikat Allah sahaja yang tahu, Abdullah adalah pembawa sebenar.
Menyalahkan orang itu mudah. Membuat kesilapan dengan menyalahkan orang yang tak bersalah itu juga mudah. Yang payah adalah untuk kita mengaku salah.
Yang payah adalah untuk mengubah sikap kita sendiri untuk sama-sama memakai pelitup muka, menjaga jarak dan membasuh tangan.
Yang payah adalah untuk kita beramal dengan selawat, amalan pendinding, solat taubat dan solat hajat supaya Covid 19 diangkat dari bumi ini. Yang payah adalah untuk terus berdoa.
Yang payah adalah untuk meletakkan kepentinggan doa melebihi pelitup muka. Ramai yang risau jika tertinggal pelitup muka tetapi tidak berasa risau jika hari itu tertinggal berdoa kepada Allah supaya dipelihara dirinya. Pada pandangan saya, kedua-duanya sama penting tetapi berbeza dari segi darjatnya.
Yang payah adalah untuk terus beriktikad dalam hati bahawa Allah itu baik dan kita kena bersangka baik dengan takdir yang Dia kurniakan.
Yang payah itu REDHA DAN IKHLAS.
Semoga Allah memberikan kita jalan keluar daripada setiap masalah. Semoga Allah memberikan kesembuhan kepada pesakit-pesakit Covid 19. Semoga Allah mengampunkan kita semua. Semoga Allah merahmati kita di mana sahaja kita berada.

No comments:
Post a Comment