Hari tu sebelum pkp, seronok juga saya berkumpul bersama rakan-rakan di Restoran Village View, Bangi.
Makanan kat sana memang sedap. Alhamdulillah. Hebat tukang masak kedai tu. Menu di situ sama seperti lain-lain kedai tom yam tetapi ada beberapa menu istimewa.
Semasa kami menyembang tu, ada la beberapa pertanyaan daripada sahabat saya Abang Md Fuad yang membuka minda saya. Terima kasih sebab menjadikan perbincangan itu lebih bermanfaat.
Perbincangan kami berkenaan biji tasbih. Ini pandangan peribadi saya dan dikongsikan di sini seperti mana yang kami bualkan.
Pada saya, biji tasbih ni adalah alat bantu atau pemudah cara. Bukan tak boleh kira zikir guna jari tapi bila kita pegang biji tasbih ni rasa nak membilang tu lebih bersemangat.
Sama saja macam main bola pakai kasut dengan tak pakai. Pakai jersi atau pakai tshirt. Kenapa pemain bola profesional ada jersi dan kasut khas untuk bermain? Semangat tu lain. Berbeza sangat kalau main berkaki ayam dan pakai baju tshirt dok kat rumah.
Dalam ibadah, kita memang perlukan semangat. Bukan senang nak buat ibadah walaupun zikir yang pendek. Godaan syaitan tu besar sangat.
Bila kita pegang tasbih, minda kita berkata "takkan pegang saja?". Kita pun rasa malu dan mula la berzikir.
Tasbih ni ada banyak set bilangan. Biasanya tasbih 100 atau 99. Kalau nak beli tasbih, boleh ke fb Guru Abi Chai Al Ajami . Macam-macam tasbih ada dijual.
Boleh je pakai jari, tak pakai biji tasbih. Boleh, cuma tasbih ini mengekang kita daripada buat perkara lain menggunakan tangan.
Kalau kira guna jari, tengah syok kira tiba-tiba gatal. Dah kita pergi garu pula dengan tangan tadi. Lupa terus bilangan.
Ada orang suka bawa tasbih dengan cara pakai kat tangan atau sangkut kat leher. Itu tak lebih daripada untuk kesedaran sendiri. Bila tasbih tergantung tu, teragak-agak la sikit nak ke tempat maksiat. Malu. Nak tengok perempuan lalu pun segan. Takut dikecam orang sekeliling.
Yang lagi penting, tengah-tengah sibuk hal dunia, terpandang tasbih kat pergelangan tangan. Barulah sedar hari ni belum berzikir atau berselawat lagi.
Tasbih ini dibuat daripada macam-macam bahan. Ada kayu, plastik atau batu. Ini sekadar variasi untuk pilihan kita. Manusia memang tidak lari daripada hendakkan sesuatu untuk kepuasan diri. Jadi, pilih la mana-mana bahan pun tak apa. Janji puas.
Setiap bahan semulajadi yang Allah jadikan ada kebaikan masing-masing. Benda ini sebenarnya berzikir kepada Allah dengan cara mereka.
Jadi bila saya gunakan biji tasbih, saya umpamakan berzikir bersama-sama mereka, berharap mereka memohon pengampunan kepada diri kita dan mungkin juga menjadi saksi atas amalan kita di mahsyar nanti.
Kita ni nak berzikir satu hari suntuk memang tak mampu. Banyak urusan kerja. Jadi dengan setkan bilangan zikir, kita dapat menganggarkan masa yang diperlukan. Contoh nak habiskan zikir subhanallah 33x, alhamdulillah 33x dan Allahuakbar 33x cuma memerlukan 2 minit.
Jadi biji tasbih ni sangat membantu bila kita nak setkan bilangan zikir. Lagipun hidup manusia memang perlukan matlamat. Kalau buat kerja tanpa matlamat, tak ke mana kerja kita.
Kalau berniaga, matlamat mestilah nak untung. Kalau belajar, mestilah nak pandai atau lulus peperiksaan. Jadi tak ada salah kalau sehari, kita letakkan bilangan zikir tertentu untuk kita habiskan dalam sehari.
Contoh nak habiskan 500 selawat. Jadi kita setkan 100 kali selepas sembahyang. Pastikan masa yang diambil untuk habiskan zikir itu tidak mengganggu urusan atau temujanji dengan sesiapa.
Adakah kita berkira dengan Allah apabila kita berzikir dengan meletakkan bilangan tertentu?
Pada saya, tidak. Bahkan ini kaedah yang baik untuk kita menilai tahap ibadah kita. Contohnya jika bulan ini, kita berjaya berzikir lailahaillallah sebanyak 300 kali. Maka bulan di depan ditambah lagi menjadi 600 kali.
Kita boleh je nak lalui hari-hari berzikir tanpa kiraan, tetapi yakin ke kita? Kalau yakin, teruskan. Pada saya, acara zikir saya akan 'ke laut'.
Kenapa ada amalan ulama dulu zikir sampai puluh ribu, ratus ribu? Pada saya, itulah kaedah yang mereka buat sebagai disiplin diri sendiri dengan cara meletakkan matlamat yang tinggi dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghabiskannya.
Lagipun bila hari-hari berzikir untuk capai matlamat zikir yang beratus ribu tu, akhirnya perkara zikir itu menjadi amalan yang dilazimi.
Pada fahaman saya, walaupun mereka habiskan zikir beratus ribu itu, mereka tidak berhenti berzikir. Mereka akan terus berzikir atau meletakkan matlamat zikir yang lain pula. Bila dah jadi rutin, barulah mereka pergi ke latihan ikhlas pula.
Cuba kita bayangkan sekejap tabung derma sampai kat kita. Kita pun hulur seringgit dan rasa kita ikhlas. Cuba hulur semua gaji kita, mana ikhlas tu pergi??
Semua matlamat perlukan usaha dan perancangan. Begitu juga halnya zikir. Perancangannya adalah biji tasbih dan zikir dengan bilangan tertentu. Matlamatnya ikhlas. Nak capai ikhlas kena melatih diri.
Kata orang kampung saya, practise make perfect.
Kalau urusan dunia, kita boleh membuat perancangan. Elok sangat urusan akhirat pun dibuat dengan sistematik dan terancang. Bukan seperti melepas batok di tangga.
Ini cuma pandangan saya. Jika ada salah silap, harap dimaafkan. Ini cuma pandangan yang daif.
Gambar ini adalah tasbih yang dibuat oleh rakan saya fb Bazid Bazil . Memang elok. Boleh pm dia jika ada yang berminat nak merasa hasil tangannya.
No comments:
Post a Comment