09 May, 2021

Bila COVID berbicara

Di depan pintu masuk sebuah keramaian. 

Pengunjung A : Assalamualaikum. 
Pengunjung  B : Waalaikumussalam. Siapa awak? 

Pengunjung A : Saya Covid. 
Pengunjung B : Ah,  Covid yang bahaya tu?! 
Pengunjung A : Ya,  ha'ah.  Saya la tu. (senyum) 

P (Pengunjung)  : Kenapa kau masih di sini?
C (Covid) : Tugas saya belum selesai. (memerhati orang ramai yang keluar masuk. Senyum) 

P : Kau suka melihat kita semua susah? 
C : Itu salah satu tugasku. 
P : Celaka kau. 
C : (Diam) 

P : Kes melambung naik.  Ini semua salah kerajaan. Peraturannya entah apa-apa.  Mufti cara mufti. Tunduk kepada kehendak pemerintah.  Geng kayangan,  selebriti... Semua terlepas.
C : HAHAHAHAHA. (ketawa dengan kuat) 
P : Kenapa kau ketawa?  Kau tahu? Rakyat tertekan, kerja tak ada. Kena lagi kompaun. 

C : HAHAHAHA. (ketawa dengan kuat) 
P : Kurang ajar.  Kenapa kau ketawa?! 
C : Sudah setahun aku datang. (memandang wajah pengunjung) 
P : Ya,  betul.  
C : Kau masih menyalahkan orang lain dan bukan dirimu? 
P : (Diam)

P : Hei,  kenapa aku yang salah?  Kau tu yang salah.  Kau tu agenda musuh.  Konspirasi. 
C : Kau takut dengan konspirasi? 
P : (Diam) 
C : Kau sejenis manusia yang suka menyalahkan orang lain. 

P : Aku? 
C : Ya,  engkau.  Kau penakut.  Kau takut mati. 
P : Hei,  kau tak boleh tuduh aku macam tu. 
C : Aku bukan tuduh. 

P : Aku rela mati untuk agama.  
C : TIPU!  Kau penipu. 
P : (Diam) 
C : Nabimu sudah mengatakannya. Umat akhir ini berpenyakit. Cintakan dunia dan takutkan mati.  Kau takut mati. Agama hanyalah mainan dibibirmu supaya kau tetap merasakan kau orang baik. 
P : (Diam)

P : Itu tidak benar. 
C : Hahaha. (gelak kecil)

P : Baiklah. Itu normal jika aku takut mati,  tapi aku tak salah. 
C : Kau suka melihat kesalahan orang dan kau lupa kesalahan dirimu. 
P : (Diam) 
C : Di waktu kau pertikaikan penjarakan sosial majlis selebriti,  kau sendiri melepak dengan kawan-kawan tanpa penjarakan.  Di waktu kau pertikaikan mereka merentas negeri,  kau sendiri bersenang lenang menggunakan surat kebenaran  kerja untuk ke sana ke mari atas keperluan peribadi.
P : (Diam) 

C : Kau sekarang sudah melampaui batas! 
P : Hah,  apa yang kau cakap?
C : Ya,  benar.  Sudahlah kau jauh dari agama. Ulama kau caci.  Institusi mufti dan agama kau hina tanpa segan.
P : (Diam) 

C : Lupakah kau,  ulama itu pewaris nabi? 
P : Mereka itu ulama suu'. 
C : Ah,  kau bercakap ikut nafsu.  Kau angkat ulama yang sependapat dengan kau.  Kau maki mereka yang berlainan pendapat. Cara kau tak jauh beza dengan orang politik! 

C : Masjid tutup, kau bising.  Penjarakkan saf,  kau bantah. Tapi kau bukanlah di kalangan mengimarahkan masjid.  Di mana kau? 
P : (Diam) 

C : Aku perlu masuk sekarang.  (memandang kepada orang ramai di majlis keramaian) 
P : Adakah aku selamat?  Aku pakai topeng.  Aku jaga jarak. Aku divaksin. 
C : Itu bukan menjadi syarat padaku.  Aku boleh menjangkiti sesiapa yang aku suka. 
P : Ah,  kalau macam tu ini semua tidak berguna? 
C : Itu menjadi syarat padamu.  Boleh jadi,  aku menjadi kasihan melihat usahamu dan aku mengelak menjangkitimu. 

P : Apa lagi yang aku perlu buat?  
C : Bertaubatlah. Kembalilah mendekatkan diri kepada Allah. Banyakkan selawat. Banyakkan berdoa. 
P : (diam) 
C : Jangan lagi kau menjadi manusia biadap yang angkuh tanpa silap.  Rendahkan egomu. Lihatlah kesalahan dirimu sebelum kau menyalahkan orang lain.  
P : (diam) 
C : Ketahuilah,  ini zaman kesusahan untuk semua orang.  Maka tidak perlu dibandingkan siapa yang lagi susah. Sepakatlah dan bantu membantu.  
P : (mengangguk) 
C : Bersabarlah.  Pertolongan Allah itu sangatlah dekat jika kamu mengetahuinya.  (senyum)

Covid dan pengunjung melangkah masuk ke keramaian itu. 

Cerita ini cerita rekaan. 

08 May, 2021

Hargai Permata Hidup Kita

Lihatlah gambar ini dan cubalah kita mengertikan. 

Ketika kanak-kanak,  saya selalu merasa lucu melihat beg kecil Mami (panggilan untuk arwah ibu). Di situlah dia menyimpan duit untuk kegunaan harian.  

Selalu dia bilang,  dia tak suka bawa duit banyak. Saya fikir saya faham sebab saya pun dibekalkan duit belanja RM1 saja setiap hari.  

Pernah dia ceritakan,  betapa kelam kabut dia mencari syiling di kaunter supermarket kerana wangnya masih belum cukup.  Terpaksa diterbalikkan beg kecil itu hingga tumpah segala syiling atas kaunter.  Saya rasa itu sungguh melucukan. 

Begitu juga Abah (panggilan untuk arwah ayah)  dengan motorsikal honda lamanya. Jarang guna kereta,  katanya mudah bergerak.  Sekali pulang,  raga motor penuh barang mengalahkan bonet kereta.  Itupun dia kata mudah lagi? 

Nak ke mana-mana pasti dengan helmet putih  longgarnya. Maunya tak longgar,  kerana selalu dipakai hingga lusuh.  Span pun sudah lenyek.  Bau tak usah cerita dan warna kehitaman akibat daki ketika berpeluh.  

Sesekali bila saya perlu menjadi pembonceng,  helmet itu disarungkan ke kepala saya.  Dia akan gunakan helmet lain yang tak jauh uzurnya.  Dalam hati saya,  geli geleman. Tetap juga saya rasakan itu satu kelucuan.  

Apa yang mungkin saya tak sedar ketika itu adalah itulah sebenarnya sebuah kemiskinan kepada ibu bapa kita. Mereka miskin demi untuk menjadikan kita selesa. 

Kini saya faham,  mami tidak membawa duit banyak bukan kerana tidak mahu.  Hanya kerana itulah caranya berjimat demi masa depan. 

Abah tidak menggantikan helmet baru bukan kerana tidak mahu tetapi banyak hal yang lebih penting daripada itu.  

Pernah juga saya berasa perit dan kasihan  setiap kali melihat abah menghidupkan motorsikal yang terkena hujan kerana diletakkan di tempat terbuka, di situ sahaja kawasan parking di rumah kami. 

Abah akan menunjal pedal penghidup sehingga keletihan. Sesekali memicit lututnya yang kesakitan.  Sakit di tempat itu kekal hingga akhir umurnya.  

Apabila usahanya tak berhasil,  saya dipanggil untuk menolak motorsikal itu sambil dia masukkan gear.  Itupun saya merasa lucu  kerana jahil untuk melihat pengorbanan abah. 

Semoga Allah meredhai kedua ibu bapa saya. Dan semoga Allah meredhai setiap ibu bapa yang ikhlas membesarkan anak-anak mereka. 

Ahad ini 9 Mei 2021 rupanya Hari Ibu. Tadi saya  terdengar kata-kata Dj di radio.

Hargailah ibu bapa.  Mereka permata yang berharga. Jika masih bersama,  santuni mereka.  Setelah mereka tiada,  tiada yang dapat mengisi kekosongan itu walaupun sekaya mana pun harta kita.

Bila COVID berbicara

Di depan pintu masuk sebuah keramaian.  Pengunjung A : Assalamualaikum.  Pengunjung  B : Waalaikumussalam. Siapa awak?  Pengunjung A : Saya ...