Kali ini aku cuba tak nak taip panjang. Aku cuba seringkas mungkin. Hari ini 18 Januari adalah tarikh lahirku. Setiap tahun aku menyambut harilahir pada dua tarikh, satu lagi ikut kalendar Islam.
Siapalah kita tanpa ibu bapa kita. Aku panggil ibu dengan panggilan 'Mami' dan bapa, 'Abah'. Kedua-duanya kini telah tiada. Mami meninggal 3 Disember 2014 pada usia 60 tahun dan Abah pada 29 Jun 2020 pada usia 69 tahun. Semoga roh mereka diampunkan dan diberi rahmat oleh Allah SWT.
Mami memang penyokong kuat aku. Kalau aku menyanyi, Mami akan kata sedap dan puji aku boleh menyanyi. Kalau aku melawak, Mami akan ketawa biarpun adik-beradik lain kata tak lawak langsung. Mujur aku sedar diri. Kalau tak, dah join Program Mentor atau Raja Lawak. Macam terlebih yakin tu. Hehehe.
Satu kejutan selepas Mami tiada bila aku dapat tahu dia sempat beli hadiah harijadiku yang ke 34. Sebuah jam tangan. Mami beritahu adik, dia sengaja beli awal. Hari ini kenangan itu muncul kembali.
Naluri seorang ibu. Sebelum pergi, tetap mahu meninggalkan sesuatu untuk anaknya. Maka yang masih punya ibu, hargailah susah payah seorang ibu.
Abah lain perwatakkannya. Dia ramah dengan kawan tetapi kurang bercakap bila di rumah. Cuma di usia tua, mulutnya ringan sikit untuk bercerita. Dia suka bercerita kisah ubat dan pelanggannya. Abah seorang penjual minyak urut dan ubat herba tradisional selepas pencen.
Malam Abah 'pergi', dia sempat menelefon aku untuk mengajak aku masuk korban. Ada bahagian lembu yang belum bertuan di kampung. Aku setuju dan Abah sangat gembira. Rupanya itu kegembiraan terakhirnya.
Seperti ibu, bapa juga insan yang tidak akan melupakan anaknya. Bapa akan terus memimpin keluarga walaupun di hujung usia. Hargailah bapa dan jangan persoalkan pengorbanannya. Seorang bapa menelan kepahitan sendirian dan dia akan bawa sampai mati.
Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mengirimkan ucapan hari lahir bersama doa-doa yang baik. Maafkan saya sekiranya terlepas pandang. Di sini saya mengambil kesempatan mendoakan semua. Ya Allah, kurniakan kepada mereka yang membaca posting ini atau kepada yang mengucapkan selamat hari lahir kepadaku, kurniakanlah kesihatan, rezeki yang baik, umur yang bermanfaat, dipelihara daripada kejahatan yang nyata atau tersembunyi, diampunkan segala dosa, diberkati dan dirahmati, serta diredhai di dunia dan di akhirat. Aamiin ya Mujib.
Allah mengurniakan nikmat yang besar kepada saya dengan kehadiran insan-insan terdiri daripada guru-guru saya, ahli keluarga saya, kawan-kawan sekolah, kawan-kawan diploma, kawan-kawan universiti, kawan-kawan silat, kawan-kawan Wing Chun, kawan-kawan kerja dan kawan-kawan FB.
Allah sangat baik kepada saya kerana menggerakkan hati-hati insan ini untuk menyapa saya, memberi ucapan hari lahir dan mendoakan saya.
Tiada Tuhan Melainkan Allah. Dan Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah.
Tiada apa yang boleh didustakan tentang nikmat Allah. Allah memberikan nikmat-Nya dengan begitu banyak sebelum sempat manusia meminta.
Moga kita semua diampunkan Allah kerana banyak melupakan-Nya. Aamiin.