11 February, 2020

Hidup ini Kisah Arnab dan Kura-kura

Pernah dengar kisah arnab dan kura-kura? Aku pernah. Mungkin kanak-kanak sezaman aku pun pernah.  

Aku tak pasti kanak-kanak sekarang, yang dari kecil lagi sudah pandai menonton kartun di telefon. Agakku cerita lama tak semenarik visual yang pelbagai di alam maya. 

Kisahnya,  Sang Arnab mengajak kura-kura berlumba lari. Sang Arnab sangat angkuh kerana tahu dia lagi pantas daripada kura-kura. Cabaran ini sekadar hendak menghina kura-kura yang bergerak lambat. 

Jelas, Sang Kura-kura bukanlah tandingan arnab! Namun,  penghinaan ini tetap disahut oleh kura-kura meskipun dia sendiri boleh mengagak kekalahan itu.   

Di hari pertandingan,  kura-kura tertinggal jauh. Sang Arnab menoleh ke belakang dan langsung tak nampak bayang Sang Kura-kura.  Dia merasa gembira dan bangga. 

Sang Arnab berhenti di pertengahan jalan dan mengambil keputusan untuk tidur sebentar. Sang Arnab yakin dia masih boleh menang walaupun melengah-lengahkan masa ke garisan penamat. 

Sang Arnab tidur dengan nyenyak.  Sebaik terjaga, dia terkejut kerana hari telah petang.  Dia lantas memecut ke garisan penamat. 

Sayang seribu kali sayang, Sang Arnab dapati Sang Kura-kura telah pun tiba di garisan penamat dan diraikan oleh warga haiwan di hutan itu.  

Best tak ceritanya? Sifat sombong, suka menghina dan akhirnya penyesalan yang tiada gunanya. 

Ada lagi pengajaran yang boleh kita ambil sebenarnya.  Hidup kita umpama kisah larian arnab dan kura-kura. Di waktu masa terus beredar tanpa menunggu kita,  kita harus memilih untuk menjadi arnab atau kura-kura. 

Jadi arnab,  bermakna kita suka melengah-lengahkan kerja.  Atau juga seorang yang bersungguh-sungguh berusaha untuk sesuatu tetapi berhenti sebelum sempat mengecapi hasilnya. 

Jadi kura-kura,  menjadi seorang yang sentiasa bergerak.  Melangkah selangkah demi selangkah.  Tidak pernah fikir akan halangan tetapi tetap nekad. Akhirnya sampai ke destinasi dengan cara kita sendiri. 

Dalam hidup ini,  banyak impian yg wujud dalam pemikiran kita. Tidak ada salahnya. Salahnya bila kita tidak langsung bergerak ke arah impian itu. Kita lebih suka menjadi orang yang menyesal. Satu demi satu sesalan akibat gagal menggapai impian. 

Salam 2020. Aku Mzke. Masih wujud dan diberi nafas oleh Allah SWT. Moga aku juga memilih untuk menjadi kura-kura atau sebaik-baiknya arnab yang tidak pernah berhenti untuk tidur. 


No comments:

Bila COVID berbicara

Di depan pintu masuk sebuah keramaian.  Pengunjung A : Assalamualaikum.  Pengunjung  B : Waalaikumussalam. Siapa awak?  Pengunjung A : Saya ...