Itulah lumrah kehidupan yg Dia (Allah SWT) kurniakan kepada kita. Dengan rahmat-Nya, kita dapat mengharungi hidup ini, hari demi hari. Seharusnya kita sedar, semuanya dengan rahmat-Nya. Kita makhluk lemah sahaja.
Pastinya persoalan kita, kenapa nasib kita tidak sebaik orang. Ye lah kan, bila diperhatikan sekeliling ada orang yang hidupnya kelihatan senang daripada kita. Di waktu kita tidak berduit, dia nampak kaya. Di waktu kita dan keluarga tidak bahagia, dia nampak begitu mesra dengan keluarganya.
Maka timbullah 'jeles' atau cemburu. Ok, aku minta kita 'stop' sekejap melayan perasaan cemburu! Jangan sampai rasa itu membawa kita kepada hasad dengki yang sememangnya ditegah dalam agama.
Jom kita lihat sudut mana yang boleh kita perbaiki diri. Pastinya ada cara untuk kita berjaya, bergembira dan hidup senang seperti orang lain. Dia SWT itu tidak zalim kepada hamba-Nya. Kita bukan dihantar ke dunia untuk menderita!
Tuan-tuan dan puan-puan, percaya tak hidup ini berkonsep atau berformula? Aku percaya. Jika kita ikut konsep yang ada, sedikit sebanyak kita dah berjaya mengatasi sebahagian masalah kita.
Mari kita lihat, surah al-Insyirah di mana Dia SWT berfirman, "di dalam kesulitan, ada kesenangan". Ini satu konsep yang kita perlu lihat dan faham. Konsep ini diulang beberapa kali dalam surah ini.
Maknanya, jika kita hendak senang, konsepnya kita mesti melalui susah dahulu. Jadi, konsep seperti skim cepat kaya telah tertolak dengan sendiri dan kita tidak harus mempercayai kesenangan yang segera.
Budak kecil meniarap dan merangkak dengan susah payah sebelum pandai berjalan dan berlari. Belajar ABC dahulu, sebelum pandai membaca. Inilah konsep di dalam kesulitan ada kesenangan. Jika kita lari daripada konsep ini, itulah penyebab kita berdepan dengan masalah yang sukar kita atasi.
Jom, kita lihat pula konsep solat sebagai penghapus dosa. Antara selang waktu solat seperti antara zohor dan asar, solat zohor menjadi penghapus dosa bagi selang waktu solat sebelumnya, dan solat asar menjadi penghapus dosa selang waktu zohor.
Konsep di sini adalah kebersihan yang harus dijadikan sebagai perkara yang berterusan. Dalam solat, kebersihan itu bermaksud penyucian jiwa itu berlaku berterusan.
Cuba kita bayangkan jika kita tidak membersihkan bilik mandi kita secara berterusan. Pastinya segala mak nenek lumut akan membiak. Timbullah rasa geli dan kotor. Inilah padah tidak ikut konsep iaitu kebersihan perlu dilakukan berterusan.
Ini bertepatan saranan Dia s.a.w. (Nabi Muhammad) yang menganjurkan istighfar (ucapan Astargfirullah atau perbuatan taubat) dilakukan paling kurang 70x (sunnah Nabi s.a.w). Konsep pembersihan yang berterusan.
Bayangkan betapa banyaknya dosa kita menempel seperti lumut di bilik mandi jika kita tida berterusan bertaubat. Betapa sukarnya hendak membersihkan lumut bilik mandi yang dibiarkan berbulan-bulan itu, dan begitulah sukarnya hendak menghapuskan dosa yang menimbun jika taubat kita pun dilakukan sekali sekala.
Banyak lagi konsep yang boleh difikirkan bersama. Jika kita ikut konsep, hidup kita lebih mudah diatur. Insya Allah.
Aku masih berusaha. Kita semua harus berusaha. Dia SWT itu pasti membalas usaha kita meskipun kita berdepan kegagalan. Jangan lekas menyerah kerana hanya syaitan yang mudah berputus asa.
Wallahua'lam. Ditulis sekadar pandangan dan tanpa rujukan. Boleh ambil pengajaran kalau mahu, boleh tinggalkan kalau silap.