29 December, 2020

Orang Islam Kena Ambil Faham Bukan Ikut Logik

Antara hujah orang Islam yang menyambut perayaan agama orang lain adalah untuk menjaga hati pengganut agama lain. Mereka berasa ini adalah perbuatan balas budi kepada pengganut agama lain yang turut mengucapkan selamat hari raya dan memakai pakaian orang Islam sebagai tanda menghormati perayaan orang Islam.

Dalam Islam,  cara menghormati agama lain adalah dengan tidak memaksa mereka mengganut agama Islam, beribadah seperti orang Islam, meninggalkan apa yang dilarang dalam Islam atau mengganggu orang bukan Islam menjalani kehidupan beragama mereka.

Itu jelas. 

Islam berpaksi kepada tauhid yang benar.  Iaitu Allah sebagai Tuhan yang Esa dan Nabi Muhammad s.a.w adalah rasul yang terakhir dan semua rasul adalah hamba Allah yang muslim. 

Justeru, orang Islam adalah DILARANG bersekongkol dalam pegangan aqidah yang sesat dalam apa jua tindakan. 

Kenapa begitu? 

Kerana hanya dengan cara itu kita dapat menyedarkan mereka bahawa aqidah mereka menyimpang daripada kebenaran.  

Kerana hanya dengan cara itu kita dapat menjaga hati kita supaya tidak ada tompok hitam akibat maksiat kepada Allah.

Kerana hanya dengan cara itu kita dapat menjaga aqidah kita sendiri.

Kerana hanya dengan cara itu kita tidak melakukan perbuatan yang seolah-olah menganggap semua agama itu sama baik dan benar.  

Kerana hanya dengan cara itu kita berharap orang bukan Islam mula mengkaji kebenaran anutan mereka dan kebenaran yang dibawa oleh Islam. Jika kita membuat mereka selesa dengan agama mereka,  mereka akan sentiasa berasa benar.  

Tauhid Islam itu mudah.  Allah itu Tuhan.  Dia esa, tiada dua yang setanding.  Tiada sekutu. Kuasanya tidak terbatas.  Dia tidak dapat digambarkan dengan fikiran.  Dia tidak diciptakan. Dia tidak beranak dan diberanakkan.  Dia tiada mula dan tiada akhir. 

Tauhid Islam juga kita harus percaya Nabi Muhammad adalah Rasulullah yang terakhir dan sebaik-baik makhluk.  Nabi yang menjadi rahmat seluruh alam.  Tak kiralah alam manusia ataupun alam jin. Termasuk alam-alam yang kita tahu ataupun tidak.

24 December, 2020

MENGETEH SEORANG DIRI DITEGUR SEORANG TAHFIZ

 

Malam ni terasa nak 'mengeteh' atau bahasa standardnya nak lepak sambil minum-minum. Perut pun lapar dan aku mula terbayang-bayang nan cheese tandoori mamak kedai Hameed Bistro dekat simpang tiga ke Kota Warisan.

Terbayang-bayang lelehan cheesenya yang tak sama dengan mamak lain yang menggunakan kepingan cheese nipis. Cheese mamak ni besar dan tebal. Bila masak, dia punya leleh...fuuhhh!!!

Ayam tandoorinya juga berbeza dengan mamak yang pernah aku pergi. Di sini, ayamnya lebih 'basah' dengan pati perapannya. Sedap. Tak boleh nak digambarkan. Kena rasa sendiri.

Aku mula mesej kawan-kawan yang berdekatan nak ajak ngeteh. Namun, sorang-sorang pula yang menolak atas macam-macam alasan. Argh! Waktu malang aku le ni kalau ajak ngeteh tapi takde yang nak join. Dah biasa jadi. Bila time aku bersungguh-sungguh nak ngeteh, selalu kena time orang sibuk atau ada hal. Terpaksa la mengeteh seorang diri.

Sebagai teman, aku capai buku yang dah lama baca tak abis-abis dek kerana baca berhenti-henti. Satu buku motivasi tentang solat. Setelah order makan, apalagi nan cheese tandoori la dan segelas teh tarik, aku buka buku dan start baca. Sekejap saja mamak datang menghantar pesanan tadi.

"Abang baca buku apa?", lembut tegur mamak.

"Ah, buku biasa je"

"Ada hadis, ada al-Quran?", tanya mamak itu lagi bila terpandang tulisan arab.

"Bukan hadis, Buku pasal solat. Buku biasa aje" 

Aku nak terangkan panjang lebar pasal buku ni pun aku tak pasti mamak ni reti ke baca tulisan rumi. Ini bukan buku hadis. Ini buku motivasi je tetapi diselitkan dengan potongan hadis dan ayat al-Quran selayaknya sebagai buku bergenre agama.

"Saya pun ada baca buku. Kadang-kadang lepas sembahyang atau cuti, sekali mesti mau baca", jelas mamak itu.

Wahhh! Ini bukan mamak biasa-biasa ni. Baca buku ni bukan satu tabiat yang mudah. Oleh sebab payahlah aku tak habis lagi baca buku yang ada kat tangan ni. Aku mula pandang mamak ni dengan pandangan respect. Jujur aku kata, tabiat membaca ni susah wujud dalam keluarga sendiri dan susah nak jadi ulat buku sebab tabiat ni tak boleh dipaksa. Hanya yang suka buku saja yang sanggup baca. Mereka juga sanggup beli buku.

Aku sendiri pun makin kurang minat membaca. Kecil-kecil dulu minat. Bila dah besar, macam-macam hiburan pun ada, contohnya telefon, aku jadi liat nak membaca. Cuma aku tak dapat tahan diri daripada membeli buku. Dah banyak buku dalam koleksi. Nak tak nak, aku gagahkan diri hari ni untuk baca supaya aku tidak bazirkan buku-buku yang dibeli dan supaya aku boleh beli lagi buku baru.

"Awak ada belajar madrasah ke?", aku cuba menyiasat.

"Ya, ada. Madrasah ada, sekolah pun ada" jawab mamak itu.

"Awak hafiz ke?", tebakku.

"Ya", mamak tu mengangguk.

Seriuslah wey! 

"Satu Quran tu habis ke?"

"Ya", mamak tu mengiyakan dan melemparkan senyuman jujur kepadaku.

What?!! Hafiz ni. Satu al-Quran dalam dada dia. Manusia yang selalu aku perhatikan buat roti nan dan bakar ayam tandoori ni rupanya hafiz al-Quran!

Come on, kau kerja mungkin lagi bagus daripada dia pun tak hafaz Quran. Padahal nikmat Allah tu berganda-ganda kepada kau. Kalau kau rasa diri kau mulia sebab kau berharta, tidak, itu salah. Allah lebih pandang lelaki pembuat roti nan ini lebh daripada diri kau yang di dada kosong daripada kalamullah. Jadi jangan sombong. 

Kita sebenarnya tidak lebih mulia daripada sesiapapun dengan apa yang kita ada. Semua yang kita ada, Allah yang punya. Dia berikan kepada kita supaya kita bersyukur dan beribadah kepada-Nya selayaknya sebagai tanda betapa kita berterima kasih atas kurniaan-Nya.

Patutlah selama ini aku merasakan nan cheese dan ayam tandoori di sinilah paling sedap. Rupanya di sebalik kepandaian mamak ini membuatnya, terdapat berkat yang memayungi setiap hasil usahanya. Allahuakbar. Berilah aku iktibar daripada diri seorang mamak ini. Semoga aku menjadi hamba-Mu yang soleh.


Nota admin : AMARAN. Ini bukan bahan ilmiah. Post ini adalah cetusan rasa. Ditulis daripada hati tanpa rujukan terperinci, fakta atau dalil. Sekiranya tidak tepat, sila abaikan. Atau tinggalkan teguran di ruang komen untuk admin betulkan.

22 November, 2020

ITUKAH RAHSIA SOLAT?


Sesuatu yang menarik untuk dibincangkan! Mulanya aku saja jer nak tengok video ini. Senaman untuk dapatkan 'six pack abs'. Cita-cita aku dari dulu tu tapi tak pernah diusahakan secara serius. Hehehe...😂😂😂

Video ni berbeza sikit daripada video senaman yang lain kerana membincangkan kesilapan semasa melakukan senaman 'six pack abs'. Dihoskan oleh Dr Sten Ekberg dan 'channel' itu memakai namanya sendiri.

Aku baru tahu 'muscle' atau otot tidak boleh dipanjangkan. Serius arrr???😅😅 Nak bagi sado atau 'six pack abs' kena bagi otot bekerja.  Dan otot hanya akan bekerja apabila otot itu dipendekkan. Macam mana tu? Untuk mudah kita faham, cuba rapatkan kedua-dua lutut ke dada. Kedudukan itu menyebabkan otot perut dipendekkan. Makin dekat lutut ke dada makin otot tu dipaksa bekerja.  Faham? Kalau masih tak faham, korang 'review' la video ni.

Perasan tak? Apabila kita rukuk dan sujud ketika sembahyang, kita dekatkan dada dengan lutut. Otot perut dipendekkan. Maka sembahyang juga memberikan kesan yang sama seperti senaman 'six pack abs'. Menarik bukan? 

Kalau korang tanya, kenapa tak 'six pack' pun padahal korang sembahyang? Aku tanya balik, berapa minit korang sembahyang? 5 minit? Kejap sangat tuuu... Korang pun bukan sujudnya 5 minit, ye tak?

OK, ada lagi! Lagi wow! Kata Dr Sten, senaman hanyalah 5% proses 'six pack abs'. Lagi 95% bergantung kepada metabolisme tetapi katanya, "....Kenapa saya membuat video ini dan mencabar anda semua untuk bersenam bagi membakar lemak di bahagian perut?"
 
Dr Sten terangkan punca masalah metabolisme adalah peningkatan insulin dan kortisol dalam badan. Insulin naik apabila kita ambil makanan bergula dan berkarbohidrat. Kortisol naik apabila kita stress. Lebih insulin menyebabkan badan menghasilkan lemak. Lebih kortisol kita jadi kuat makan. Cara mengatasinya ialah kurangkan gula, kurangkan karbohidrat, stabilkan gula dalam darah dan kawal stres. 

Jadi apa kena mengena dengan senaman? Sebenarnya ini berkait dengan otak yang sihat. Menurut Dr Sten, ada 3 cara untuk buat otak kita sihat iaitu pemakanan, oksigen dan mengaktifkan otak. Pemakanan ialah makan makanan berzat yang baik untuk otak. Oksigen pula diperoleh melalui pernafasan. Dan untuk mengaktifkan otak, perlu bergerak atau senaman. 

Aktiviti hafalan atau bermain teka silang kata hanya meningkatkan kemampuan otak tetapi bukan menjadikan otak itu sihat. Otak sihat perlukan signal yang banyak dihantar kepadanya. Pergerakan atau senaman membekalkan 60% ke 90% signal ke otak. Signal ini membawa nutrisi penting untuk membina tisu-tisu otak yang baru.

Pada struktur depan otak dipanggil 'frontal lobe' oleh Dr Sten, berfungsi menerima dan menganalisis signal kemudian bertindak menghentikan sesuatu tindakan yang tidak perlu di dalam sistem badan demi menjaga keseimbangannya. Makin banyak signal yang diterima, makin banyak tindakan dihentikan oleh 'frontal lobe' . 

Antaranya 'frontal lobe' menghentikan  stress dan gelisah. Orang yang tidak stress dan gelisah mempunyai kortisol yang rendah, menjadikan mereka kurang keinginan untuk mengambil gula dan karbohidrat menyebabkan kadar insulin terkawal. Bukan itu sahaja, disebalik berhentinya tindakan-tindakan ini, 'frontal lobe' bertindak menaikkan motivasi kita. 

Justeru, kita tertanya apa pentingnya senaman perut atau 'six pack abs'? 'Part' menarik dan wow tu makin hampir. Di sinilah kita akan mengungkap satu hikmah besar yang mungkin selama ini kita kurang cakna. 

Sebenarnya, signal paling banyak datangnya daripada otot-otot yang melekat di tulang belakang kita. Ada 3 lapisan otot dan setiap lapisan mempunyai beratus-ratus otot. Bayangkan berapa banyak signal yang akan terhasil?

Otot-otot tulang belakang ini akan berfungsi dengan baik sekiranya ada sokongan daripada otot-otot sekelilingnya iaitu otot-otot perut. Kekuatan otot perut bertindak menyokong sistem tulang belakang, memberikannya kelenturan  dan mewujudkan kestabilan badan.

Kestabilan antara otot perut dan otot tulang belakang akan meningkatkan signal yang dapat dihantar ke otak terutama di bahagian 'frontal lobe' walaupun melalui pergerakan ringkas seharian. Makin banyak signal, otak makin sihat. Makin banyak tindakan yang tidak diperlukan badan dihentikan oleh 'frontal lobe'. Berbeza hasilnya jika sistem otot ini lemah dan tidak stabil.

Sekarang masuk akal kenapa Allah dan Rasul s.a.w menyuruh kita meluruskan belakang ketika rukuk dan menempatkan anggota sujud dengan betul. Malah, ada galakan sujud lama.  Tidak lain tidak bukan untuk memberi kesan yang baik kepada sistem otot ini. Wow! 😀😀

Allah nak menjaga otak kita supaya sihat agar kita menjadi hamba-Nya yang benar-benar menggunakan nikmat akal dengan penuh syukur. 

Masuk akallah kenapa ada solat sunat dan digalakkan kita buat.  Allah nak tambah kehebatan otak kita supaya kemampuan kita makin dapat digali dan dibongkar! 

Masuk akal apabila Allah melarang arak kerana ia memusnahkan fungsi akal. Menjatuhkan nilai seorang manusia dan khalifah yang diamanahkan untuk mentadbir dunia.  

Wow! Menarik!  Subhanallah.  Nikmat Allah yang mana lagi kita nak dustakan? Jadi tak rugi pun kalau kita mula mengamalkan senaman 'six pack abs'. Dan terbaik kalau kita mula berjinak-jinak sembahyang sunat sebagai tambahan amal yang dituntut. 

Wallahu'alam. 

16 February, 2020

KITA HIDUP BERKONSEP

Aku percaya,  yg dinamakan manusia sama seperti aku pasti berdepan dengan seribu satu ujian dan cabaran hidup.  Di sebalik kegembiraan,  akan terselit keperitan dan kepayahan. Ada waktu tenang,  ada waktu cemas dan suram. 

Itulah lumrah kehidupan yg Dia (Allah SWT) kurniakan kepada kita. Dengan rahmat-Nya,  kita dapat mengharungi hidup ini,  hari demi hari. Seharusnya kita sedar,  semuanya dengan rahmat-Nya. Kita makhluk lemah sahaja. 

Pastinya persoalan kita,  kenapa nasib kita tidak sebaik orang.  Ye lah kan,  bila diperhatikan sekeliling ada orang yang hidupnya kelihatan senang daripada kita. Di waktu kita tidak berduit,  dia nampak kaya.  Di waktu kita dan keluarga tidak bahagia,  dia nampak begitu mesra dengan keluarganya.  

Maka timbullah 'jeles' atau cemburu.  Ok, aku minta kita 'stop' sekejap melayan perasaan cemburu! Jangan sampai rasa itu membawa kita kepada hasad dengki yang sememangnya ditegah dalam agama.  

Jom kita lihat sudut mana yang boleh kita perbaiki diri. Pastinya ada cara untuk kita berjaya,  bergembira dan hidup senang seperti orang lain.  Dia SWT itu tidak zalim kepada hamba-Nya. Kita bukan dihantar ke dunia untuk menderita! 

Tuan-tuan dan puan-puan, percaya tak hidup ini berkonsep atau berformula? Aku percaya. Jika kita ikut konsep yang ada, sedikit sebanyak kita dah berjaya mengatasi sebahagian masalah kita. 

Mari kita lihat,  surah al-Insyirah di mana Dia SWT berfirman,  "di dalam kesulitan, ada kesenangan". Ini satu konsep yang kita perlu lihat dan faham. Konsep ini diulang beberapa kali dalam surah ini. 

Maknanya,  jika kita hendak senang, konsepnya kita mesti melalui susah dahulu.  Jadi,  konsep seperti skim cepat kaya telah tertolak dengan sendiri dan kita tidak harus mempercayai kesenangan yang segera. 

Budak kecil meniarap dan merangkak dengan susah payah sebelum pandai berjalan dan berlari. Belajar ABC dahulu, sebelum pandai membaca.  Inilah konsep di dalam kesulitan ada kesenangan.  Jika kita lari daripada konsep ini,  itulah penyebab kita berdepan dengan masalah yang sukar kita atasi. 

Jom,  kita lihat pula konsep solat sebagai penghapus dosa. Antara selang waktu solat seperti antara zohor dan asar,  solat zohor menjadi penghapus dosa bagi selang waktu solat sebelumnya, dan solat asar menjadi penghapus dosa selang waktu zohor.

Konsep di sini adalah kebersihan yang harus dijadikan sebagai perkara yang berterusan. Dalam solat,  kebersihan itu bermaksud penyucian jiwa itu berlaku berterusan. 

Cuba kita bayangkan jika kita tidak membersihkan bilik mandi kita secara berterusan.  Pastinya segala mak nenek lumut akan membiak.  Timbullah rasa geli dan kotor.  Inilah padah tidak ikut konsep iaitu kebersihan perlu dilakukan berterusan. 

Ini bertepatan saranan Dia s.a.w. (Nabi Muhammad) yang menganjurkan istighfar (ucapan Astargfirullah atau perbuatan taubat) dilakukan paling kurang 70x (sunnah Nabi s.a.w). Konsep pembersihan yang berterusan.  

Bayangkan betapa banyaknya dosa kita menempel seperti lumut di bilik mandi jika kita tida berterusan bertaubat.  Betapa sukarnya hendak membersihkan lumut bilik mandi yang dibiarkan berbulan-bulan itu,  dan begitulah sukarnya hendak menghapuskan dosa yang menimbun jika taubat kita pun dilakukan sekali sekala. 

Banyak lagi konsep yang boleh difikirkan bersama.  Jika kita ikut konsep,  hidup kita lebih mudah diatur.  Insya Allah.  

Aku masih berusaha.  Kita semua harus berusaha. Dia SWT itu pasti membalas usaha kita meskipun kita berdepan kegagalan. Jangan lekas menyerah kerana hanya syaitan yang mudah berputus asa. 

Wallahua'lam.  Ditulis sekadar pandangan dan tanpa rujukan. Boleh ambil pengajaran kalau mahu,  boleh tinggalkan kalau silap. 

11 February, 2020

Hidup ini Kisah Arnab dan Kura-kura

Pernah dengar kisah arnab dan kura-kura? Aku pernah. Mungkin kanak-kanak sezaman aku pun pernah.  

Aku tak pasti kanak-kanak sekarang, yang dari kecil lagi sudah pandai menonton kartun di telefon. Agakku cerita lama tak semenarik visual yang pelbagai di alam maya. 

Kisahnya,  Sang Arnab mengajak kura-kura berlumba lari. Sang Arnab sangat angkuh kerana tahu dia lagi pantas daripada kura-kura. Cabaran ini sekadar hendak menghina kura-kura yang bergerak lambat. 

Jelas, Sang Kura-kura bukanlah tandingan arnab! Namun,  penghinaan ini tetap disahut oleh kura-kura meskipun dia sendiri boleh mengagak kekalahan itu.   

Di hari pertandingan,  kura-kura tertinggal jauh. Sang Arnab menoleh ke belakang dan langsung tak nampak bayang Sang Kura-kura.  Dia merasa gembira dan bangga. 

Sang Arnab berhenti di pertengahan jalan dan mengambil keputusan untuk tidur sebentar. Sang Arnab yakin dia masih boleh menang walaupun melengah-lengahkan masa ke garisan penamat. 

Sang Arnab tidur dengan nyenyak.  Sebaik terjaga, dia terkejut kerana hari telah petang.  Dia lantas memecut ke garisan penamat. 

Sayang seribu kali sayang, Sang Arnab dapati Sang Kura-kura telah pun tiba di garisan penamat dan diraikan oleh warga haiwan di hutan itu.  

Best tak ceritanya? Sifat sombong, suka menghina dan akhirnya penyesalan yang tiada gunanya. 

Ada lagi pengajaran yang boleh kita ambil sebenarnya.  Hidup kita umpama kisah larian arnab dan kura-kura. Di waktu masa terus beredar tanpa menunggu kita,  kita harus memilih untuk menjadi arnab atau kura-kura. 

Jadi arnab,  bermakna kita suka melengah-lengahkan kerja.  Atau juga seorang yang bersungguh-sungguh berusaha untuk sesuatu tetapi berhenti sebelum sempat mengecapi hasilnya. 

Jadi kura-kura,  menjadi seorang yang sentiasa bergerak.  Melangkah selangkah demi selangkah.  Tidak pernah fikir akan halangan tetapi tetap nekad. Akhirnya sampai ke destinasi dengan cara kita sendiri. 

Dalam hidup ini,  banyak impian yg wujud dalam pemikiran kita. Tidak ada salahnya. Salahnya bila kita tidak langsung bergerak ke arah impian itu. Kita lebih suka menjadi orang yang menyesal. Satu demi satu sesalan akibat gagal menggapai impian. 

Salam 2020. Aku Mzke. Masih wujud dan diberi nafas oleh Allah SWT. Moga aku juga memilih untuk menjadi kura-kura atau sebaik-baiknya arnab yang tidak pernah berhenti untuk tidur. 


Bila COVID berbicara

Di depan pintu masuk sebuah keramaian.  Pengunjung A : Assalamualaikum.  Pengunjung  B : Waalaikumussalam. Siapa awak?  Pengunjung A : Saya ...