Sesuatu yang menarik untuk dibincangkan! Mulanya aku saja jer nak tengok video ini. Senaman untuk dapatkan 'six pack abs'. Cita-cita aku dari dulu tu tapi tak pernah diusahakan secara serius. Hehehe...😂😂😂
Video ni berbeza sikit daripada video senaman yang lain kerana membincangkan kesilapan semasa melakukan senaman 'six pack abs'. Dihoskan oleh Dr Sten Ekberg dan 'channel' itu memakai namanya sendiri.
Aku baru tahu 'muscle' atau otot tidak boleh dipanjangkan. Serius arrr???😅😅 Nak bagi sado atau 'six pack abs' kena bagi otot bekerja. Dan otot hanya akan bekerja apabila otot itu dipendekkan. Macam mana tu? Untuk mudah kita faham, cuba rapatkan kedua-dua lutut ke dada. Kedudukan itu menyebabkan otot perut dipendekkan. Makin dekat lutut ke dada makin otot tu dipaksa bekerja. Faham? Kalau masih tak faham, korang 'review' la video ni.
Perasan tak? Apabila kita rukuk dan sujud ketika sembahyang, kita dekatkan dada dengan lutut. Otot perut dipendekkan. Maka sembahyang juga memberikan kesan yang sama seperti senaman 'six pack abs'. Menarik bukan?
Kalau korang tanya, kenapa tak 'six pack' pun padahal korang sembahyang? Aku tanya balik, berapa minit korang sembahyang? 5 minit? Kejap sangat tuuu... Korang pun bukan sujudnya 5 minit, ye tak?
OK, ada lagi! Lagi wow! Kata Dr Sten, senaman hanyalah 5% proses 'six pack abs'. Lagi 95% bergantung kepada metabolisme tetapi katanya, "....Kenapa saya membuat video ini dan mencabar anda semua untuk bersenam bagi membakar lemak di bahagian perut?"
Dr Sten terangkan punca masalah metabolisme adalah peningkatan insulin dan kortisol dalam badan. Insulin naik apabila kita ambil makanan bergula dan berkarbohidrat. Kortisol naik apabila kita stress. Lebih insulin menyebabkan badan menghasilkan lemak. Lebih kortisol kita jadi kuat makan. Cara mengatasinya ialah kurangkan gula, kurangkan karbohidrat, stabilkan gula dalam darah dan kawal stres.
Jadi apa kena mengena dengan senaman? Sebenarnya ini berkait dengan otak yang sihat. Menurut Dr Sten, ada 3 cara untuk buat otak kita sihat iaitu pemakanan, oksigen dan mengaktifkan otak. Pemakanan ialah makan makanan berzat yang baik untuk otak. Oksigen pula diperoleh melalui pernafasan. Dan untuk mengaktifkan otak, perlu bergerak atau senaman.
Aktiviti hafalan atau bermain teka silang kata hanya meningkatkan kemampuan otak tetapi bukan menjadikan otak itu sihat. Otak sihat perlukan signal yang banyak dihantar kepadanya. Pergerakan atau senaman membekalkan 60% ke 90% signal ke otak. Signal ini membawa nutrisi penting untuk membina tisu-tisu otak yang baru.
Pada struktur depan otak dipanggil 'frontal lobe' oleh Dr Sten, berfungsi menerima dan menganalisis signal kemudian bertindak menghentikan sesuatu tindakan yang tidak perlu di dalam sistem badan demi menjaga keseimbangannya. Makin banyak signal yang diterima, makin banyak tindakan dihentikan oleh 'frontal lobe' .
Antaranya 'frontal lobe' menghentikan stress dan gelisah. Orang yang tidak stress dan gelisah mempunyai kortisol yang rendah, menjadikan mereka kurang keinginan untuk mengambil gula dan karbohidrat menyebabkan kadar insulin terkawal. Bukan itu sahaja, disebalik berhentinya tindakan-tindakan ini, 'frontal lobe' bertindak menaikkan motivasi kita.
Justeru, kita tertanya apa pentingnya senaman perut atau 'six pack abs'? 'Part' menarik dan wow tu makin hampir. Di sinilah kita akan mengungkap satu hikmah besar yang mungkin selama ini kita kurang cakna.
Sebenarnya, signal paling banyak datangnya daripada otot-otot yang melekat di tulang belakang kita. Ada 3 lapisan otot dan setiap lapisan mempunyai beratus-ratus otot. Bayangkan berapa banyak signal yang akan terhasil?
Otot-otot tulang belakang ini akan berfungsi dengan baik sekiranya ada sokongan daripada otot-otot sekelilingnya iaitu otot-otot perut. Kekuatan otot perut bertindak menyokong sistem tulang belakang, memberikannya kelenturan dan mewujudkan kestabilan badan.
Kestabilan antara otot perut dan otot tulang belakang akan meningkatkan signal yang dapat dihantar ke otak terutama di bahagian 'frontal lobe' walaupun melalui pergerakan ringkas seharian. Makin banyak signal, otak makin sihat. Makin banyak tindakan yang tidak diperlukan badan dihentikan oleh 'frontal lobe'. Berbeza hasilnya jika sistem otot ini lemah dan tidak stabil.
Sekarang masuk akal kenapa Allah dan Rasul s.a.w menyuruh kita meluruskan belakang ketika rukuk dan menempatkan anggota sujud dengan betul. Malah, ada galakan sujud lama. Tidak lain tidak bukan untuk memberi kesan yang baik kepada sistem otot ini. Wow! 😀😀
Allah nak menjaga otak kita supaya sihat agar kita menjadi hamba-Nya yang benar-benar menggunakan nikmat akal dengan penuh syukur.
Masuk akallah kenapa ada solat sunat dan digalakkan kita buat. Allah nak tambah kehebatan otak kita supaya kemampuan kita makin dapat digali dan dibongkar!
Masuk akal apabila Allah melarang arak kerana ia memusnahkan fungsi akal. Menjatuhkan nilai seorang manusia dan khalifah yang diamanahkan untuk mentadbir dunia.
Wow! Menarik! Subhanallah. Nikmat Allah yang mana lagi kita nak dustakan? Jadi tak rugi pun kalau kita mula mengamalkan senaman 'six pack abs'. Dan terbaik kalau kita mula berjinak-jinak sembahyang sunat sebagai tambahan amal yang dituntut.
Wallahu'alam.